Assalamualaikum.
Ke hadapan kekasihku Dira, yang aku cintai dan merinduimu selalu. Di saat Dira membaca warkah ini, mungkin abang telah tiada. Maafkan abang, Dira. Kerana terpaksa meninggalkan Dira keseorangan. Bukan ini yang abang pinta. Ini semua bukan niat abang untuk tinggalkan sayang. Tapi sudah tiba masanya untuk abang kembali ke pangkuan Allah SWT.
Abang tahu Dira akan mengalirkan air mata pabila membaca warkah ini. Biarlah abang berterus terang dengan Dira. Ingatkah lagi selepas keputusan peperiksaan akhir keluar, muka abang masam walaupun keputusan itu terbaik yang pernah abang terima sepanjang pengajian abang di universiti. Ketika itu, abang sudah mengetahui tentang penyakit yang ada dalam tubuh badan abang. Namun abang cuba kuatkan semangat untuk terus hidup. Tak mampu untuk abang luahkan perkara tersebut kepada sayang. Sepatutnya pada hari tersebut ialah hari paling indah untuk abang, kan?

Sudah genap 6 tahun abang cuba merahsiakan perkara ini daripada sayang. 6 tahun itulah abang tabah dan menguatkan semangat dalam diri ini walaupun abang tahu yang abang akan kembali pada-Nya suatu hari nanti. Selepas berkahwin dengan sayang, abang cuba membahagiakan sayang dengan kasih sayang. Abang risau jikalau itu sayang tidak bahagia seperti pasangan suami isteri yang lain. Abang lakukan apa yang abang mampu, sayang. Selepas 6 hari sayang bertolak ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran, abang dimasukkan ke dalam wad. Ketika itu abang terbayangkan wajah gembira sayang sebelum sayang bertolak di lapangan terbang.
Abang setia menunggu kepulangan sayang ke pangkuan abang. Mungkin apabila sayang pulang ke Malaysia, ketika itu abang sudah memejamkan mata untuk selama-lamanya. Permintaan terakhir abang, jagalah Dania dengan baik. Hanya itu lambang cinta abang untuk kamu Adira Azhar.
Salam sayang buat isteriku,
Ahmad Ezzad