Oct 3, 2011

FKWL : Akhir Penantian Ini


Azam merebahkan badannya ke atas katil. Mengelamun keseorangan. Teringat akan kata-kata kekasihnya petang tadi. Kata-kata yang telah membuatkan Azam menjadi tidak tentu hala. Qalisya dan Azam telah berjumpa untuk membincangkan mengenai hubungan mereka yang kelihatan agak goyah setelah beberapa tahun bercinta.  Dalam perjumpaan tersebut, Azam telah bertanyakan soalan terhadap Qalisya.

“Sya, saya harap awak jawab dengan penuh ikhlas dan jujur dengan saya. Adakah awak masih menunggu dia?”
“Hmm. Berat hati saya nak luahkan. Tapi saya kena jujur dengan awak. Ya, saya masih menunggu dia. Maafkan saya, Azam.”
“Tapi kenapa? Awak dah tahu kan yang dia pun dah berpunya. Kenapa awak setia sangat tunggu dia? Awak tak boleh lupakan dia langsung ke?”
“Saya tak tahu. Saya dah cuba lupakan dia. Slow-slow saya cuba lupakan. Saya tahu saya dah ada awak. Tapi maafkan saya, Azam.”

Perkataan maaf Qalisya masih terngiang-ngiang di gegendang Azam. Tidak senang dibuatnya. Selepas pertemuannya dengan Qalisya, dia mula menjadi dingin dalam hubungan itu. Apabila berjumpa, pandang pun tidak apatah lagi bertegur sapa. Azam cuba bertahan. Cuba menjadi seorang yang matang dalam memikirkan apa yang perlu dilakukan. Namun hubungan mereka terus dingin. Tidak dinafikan perasaan Qalisya sudah berbelah bagi. Perasaan sayangnya terhadap Adam, lelaki yang dia kenali sejak 5 tahun yang lepas tidak pernah luntur walaupun sudah mengetahui Adam sudah berpunya. Manakala perasaan cinta terhadap Azam pula tidak boleh dinafikan. Qalisya sayang kedua-duanya.

3 tahun berlalu..

Azam masih setia menanti cinta sejatinya. Pada suatu hari, Adam telah berjumpa dengan Qalisya. Adam akhirnya meluahkan perasaan sayangnya terhadap Qalisya. Dia juga selama ini menyimpan perasaan terhadap Qalisya. Hati Qalisya gembira namun ia hanya sementara sahaja. Dia teringatkan Azam yang setia menantinya. Dia cuba untuk berjumpa dengan Azam kembali. Takut juga dia hendak memberitahu perkara tersebut. Namun digagahi juga.

“Baguslah. Dia pun dah luahkan perasaan dia dekat awak. Mesti awak gembira, kan? Saya dah agak perkara macam ini pasti akan berlaku juga. Dan pada hari ini, ia berlaku. Awak tahu kan saya dah lama menunggu awak? Saya layan kerenah awak. Saya tak pernah merungut dekat awak pun. Saya tak berjaya nak lenyapkan perasaan sayang dan cinta saya terhadap awak, Qalisya. Tapi mungkin ini kesudahannya dalam hubungan kita. Awak pun dah lama menunggu dia. Sama-sama suka. Mungkin...dah sampai masanya untuk saya beredar dari kisah ini. Saya harap awak bahagia bersama Adam. Terima kasih untuk segala-galanya. Saya akan merindui awak. Terima kasih, Qalisya.” Azam kemudiannya beredar dari tempat pertemuan itu.


Qalisya tidak dapat menahan air matanya dan terus membiarkan ia mengalir. Itulah kali terakhir Qalisya bertemu Azam. Sejak itu, dia tidak lagi mendengar khabar berita dari Azam. Setiap kali cuba menelefon Azam, pasti operator yang akan menjawab panggilannya. Dan akhirnya dia dapat mengetahui daripada kawan Azam bahawa kekasih hatinya itu sudah ‘tiada’ akibat barah paru-paru.

-Tamat-

No comments: