Kertas lukisan itu diselak dengan perlahan-lahan. Setiap muka
surat sudah berconteng dengan karya yang tidak menjadi. Pada muka surat yang
terakhir, masih kosong tanpa apa-apa coretan pensil. Mencapai pensil di hujung
meja. Selerak sungguh mejanya. Dengan perlahan-lahan Azam melakar sesuatu di
atas kertas lukisan tersebut. Diamati dengan penuh khusyuk.
“Apa yang kau cuba lukis ni, Zam?” tanya Aidil. Entah dari
mana datangnya dia.
“Lukisan.” Jawab Azam mudah. Dahi Aidil berkerut seribu. Pelik
dengan perangai Azam.
“Memanglah lukisan, takkan sampah kot.” Aidil menjawab
dengan penuh selamba dan terus beredar dari situ. Azam melihat tajam ke arah
Aidil. Digenggamnya pensil itu.
“Kau budak sastera, apa kau tahu? Cis.” Azam menggumam
seorang diri. Menyambung kembali lakaran di atas kertas lukisan itu.
Azam tekad untuk menyiapkan lukisan itu secepat mungkin. Tinggal
beberapa hari saja lagi untuk dia menyiapkan lukisan tersebut. Proses mewarna
masih belum dilakukan lagi. Showcase akan diadakan di dataran kampus, di mana
semua pelajar seni perlu menghasilkan satu karya untuk menjadi tatapan warga
kampus sempena Hari Terbuka Kampus. Pada mulanya dia endahkan saja task yang
diberikan. Namun disebabkan seseorang yang telah memberi semangat terhadapnya,
Azam tekad untuk menyiapkan lukisan tersebut.
22 Februari 2008 – Hari Terbuka Kampus
Hasil karya dipersembahkan di dataran tersebut. Walaupun ia
hanya showcase, juri tetap ada kerana ingin memilih karya yang benar-benar
terbaik. Diamati setiap lukisan dengan penuh teliti. Ramai yang tertanya
siapakah pemilik lukisan yang berada di hujung sudut showcase itu. Lukisannya berjaya
menarik perhatian orang ramai. Kebanyakan lukisan yang ada lebih bertemakan
abstrak. Tetapi tidak bagi lukisan ini. Ia merupakan potret seorang wanita yang
cantik rupanya. Raut wajahnya kalau diamati dengan teliti, kelihatan seperti
lukisan itu bernyawa. Di bawah permukaan lukisan tersebut, ada satu tandatangan
ringkas. Manakala di belakang lukisan tersebut ada nombor matrik pelajar. Benar,
ia lukisan Tengku Azam Abdullah. Ramai pelajar yang tertanya siapakah beliau. Pensyarah
yang turut ada di showcase tersebut agak terpinga-pinga siapakah Tengku Azam
Abdullah.
Mereka cuba key-in data dengan mengambil no. matrik
pelajar tersebut. Loading. Agak terkejut dengan paparan pada komputer riba
milik salah seorang pensyarah kampus tersebut. Tengku Azam Abdullah merupakan
pelajar dekan Art and Design pada tahun 1995. Bagaimana lukisan tersebut boleh
berada dalam showcase tersebut? Lukisannya masih dalam keadaan baik. Ramai yang
mula membuat andaian sendiri. Ada yang mengatakan bahawa lukisan tersebut
misteri dan berhantu.
Namun datang seseorang dalam kelompok tersebut. Cuba
menjelaskan kebenaran mengenai lukisan tersebut.
“Actually tuan lukisan ni dah meninggal dunia akibat kanser
buah pinggang. 3 tahun dia menderita kerana penyakit tu. Dia sentiasa berada
dalam keadaan stress. Namun ada seseorang telah hadir dalam hidup dia. Sentiasa
memberikan dia semangat untuk terus hidup. Tuan lukisan tu kembali ceria dengan
adanya wanita tersebut. Dia mengabdikan wanita itu dalam lukisannya ini. Insan yang
berada di dalam lukisan ini merupakan wanita yang dia cintai. Sehari selepas
lukisan ini dihasilkan, pemilik lukisan ini meninggal dunia di dalam bilik. Mengenai
bilik mana tu, saya tak tahu,” jelasnya lembut.
“Macam mana awak tahu pasal dia? Lepas tu, apa jadi
dengan wanita dalam lukisan ni? Siapa awak sebenarnya?” tanya seorang pensyarah
yang sangsi dengan cerita tersebut.
“Saya...saya merupakan wanita tersebut.” jawabnya dengan
perlahan.

No comments:
Post a Comment