Oct 18, 2011

FKWL : Selamat Tinggal Perempuan!

“Saya janji, saya akan setia dengan awak.”

Itulah janji yang telah diperkatakan oleh Meera. Kata-kata manis untuk membuatkan pasangannya percaya terhadapnya. Ramzan hanya tersenyum dan mengangguk sebagai tanda mengiyakan kata-kata Meera. Hubungan mereka pada mulanya baik-baik saja. Ramzan mempercayai Meera yang sudah lama dia kenali. Perwatakan Meera boleh dikatakan menarik kerana dia seorang gadis yang tidak suka menonjolkan diri dengan kecantikan yang dikurniakan-Nya. Lebih sikap bersederhana.

Hubungannya dengan Ramzan sudah memasuki 5 tahun. Kalau diikutkan dalam 5 tahun tersebut, banyak perkara yang telah berlaku. Dugaan yang dialami oleh mereka, telah berjaya mereka tempuhi. Orang luar sering mengambil kesempatan ke atas hubungan mereka. Ramzan pula seorang lelaki yang mudah mengiyakan setiap perkara. Ramzan pernah mengatakan bahawa apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ramzan mempercayai Meera kerana sepanjang 5 tahun mereka bercinta, Meera tidak pernah membuat masalah dalam hubungan mereka. Ramzan yakin dengan Meera yang dia cintai.

Namun, pada suatu ketika diri Meera kelihatan berubah. Ramzan sedar akan perubahan Meera. Mereka berdua jarang berjumpa. Jika berjumpa pasti Meera akan kurang bercakap dengan Ramzan. Selalunya Meera yang lebih petah bercakap dan gemar bergurau. Namun kini tidak lagi. Ramzan bertanyakan kenapa Meera bersikap sedemikian. Adakah disebabkan hati Meera telah berubah? Namun Meera menafikan perkara tersebut.

Ramzan telah mendapat tawaran belajar di sebuah IPTA di ibu kota. Mereka berdua berjauhan. Bila mereka berjauhan, perubahan pada Meera semakin ketara. Beberapa bulan kemudian, Meera telah menghubungi Ramzan.

“Maafkan Meera. Meera rasa hubungan kita dah tak boleh bertahan lama. Boleh tak Ramzan lepaskan Meera? Lagipun Meera nak tumpukan perhatian dalam belajar. Boleh kan Ramzan?”

“Tapi kenapa Meera? Apa yang Ramzan dah buat sampai Meera nak putuskan hubungan ni?”

“Takde apa-apa. Meera cuma nak bersendirian seketika. Meera nak Ramzan terima keputusan ni.”

“Hmm. Baiklah Meera. Saya akan lepaskan awak. Walaupun saya tak dapat terima semua ni, saya pasti semua ni ada hikmah di sebalik apa yang berlaku antara kita.”


Sebulan kemudian, rakan Ramzan mengatakan bahawa kini Meera sudah bercinta dengan seorang lelaki, di mana Ramzan turut mengenali lelaki itu. Ramzan bingung. Adakah ini yang menyebabkan Meera ingin putuskan hubungan dengan dia? Ramzan menggumam. Dia hanya menganggap semua ini dugaan baginya. Dia sudah melupakan Meera dan tidak akan sesekali menerima Meera kembali. Kini Ramzan tidak lagi percaya akan kata-kata perempuan.

3 bulan kemudian, Ramzan telah dihubungi oleh Meera. Dia pelik. Meera mengatakan yang dia ingin kembali bersama Ramzan. Meera meminta maaf terhadap Ramzan, namun Ramzan mengatakan bahawa semuanya sudah terlambat. Meera mengatakan bahawa lelaki yang dia percayai baru-baru ini telah menipu dirinya. Meera telah menuruti segala apa yang diminta oleh lelaki tersebut. Kononnya lelaki itu dari keluarga susah. Kemudiannya, lelaki tersebut meninggalkan Meera dalam keadaan terpinga-pinga dan kecewa. Ribuan ringgit telah diberikan kepada lelaki tersebut.

“Saya takkan terima awak, Meera. Cukuplah sekali saya percaya kata setia awak tu. Selamat tinggal, perempuan!”

Tamat.

No comments: